
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, keadaan itu menyebabkan ramai lelaki muda hari ini berasa kecewa kerana wanita sebaya mereka lebih suka kepada lelaki yang telah berumur dan berkeluarga.
Apa yang pasti, katanya, keadaan itu menyukarkan lelaki muda untuk bersaing kerana selain berpengalaman, lelaki dewasa juga mempunyai kedudukan serta kemewahan.
“Artis-artis yang cantik, ahli korporat sapu... Jadi lelaki anak muda kita bagaimana nasib dia... yang sebaya dengan dia berselera kepada yang berumur, dewasa, yang bermisai atau berjanggut,’’ katanya.
Mohamed Aziz berkata, demikian ketika mencelah perbahasan Rang Undang-undang Penduduk dan Pembangunan Keluarga (Pindaan) 2006 yang dibahaskan oleh Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), pada sidang Dewan rakyat hari ini.
Beliau menambah, perkara itu perlu ditangani kerana ia turut melibatkan hati dan perasaan wanita lain.
Secara berkias, beliau berkata:
“Di tengah-tengah suasana riang gembira, gelak-ketawa, rasa bangga yang membuak-buak seorang wanita yang lain, tapi rupanya ada seorang wanita yang lain sedang menangis kesedihan, membawa diri.”
Ketika ditanya oleh Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kes itu merujuk kepada penyanyi Siti Nurhaliza yang baru berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Mohamed berkata:“Saya tak cakap sesiapa.(Tapi) tak tahulah kalau Datuk Yang Dipertua pun faham apa yang saya maksudkan.”
Bung Moktar yang turut bangun mencelah perbahasan itu sambil berkata, lelaki yang telah beristeri sepatutnya memperteguhkan ketahanan diri mereka supaya tidak tertewas dengan wanita-wanita muda yang didakwanya kini lebih tertarik kepada lelaki veteran.
Beliau berkata, anggota Parlimen juga secara tidak langsung tidak terlepas daripada masalah tersebut dan keadaan itu telah menimbulkan kegusaran di kalangan isteri yang bimbang suami mereka beralih kepada wanita lebih muda.
“Kami juga tak terlepas dari masalah ini sebab orang rumah, isteri pun bingung juga... dia kata mungkin kamu pun macam yang lain. Tapi saya kata tidak. Anak-anak muda marah apabila ramai gadis-gadis remaja memilih orang veteran, berpengalaman macam kita ini,” katanya.
Dr. Rozaidah Talib (BN-Ampang Jaya) pula berkata, kisah percintaan wanita muda dan suami orang atau bekas suami orang tidak perlu digembar gemburkan kepada umum kerana ia turut membabitkan perasaan isteri atau bekas isteri dan anak-anak lelaki itu.
Beliau berkata, walaupun seseorang lelaki itu ingin berkahwin lagi, mereka perlu memastikan keutuhan keluarga tidak terjejas walaupun telah bercerai.
Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) berkata, masalah keluarga akan timbul apabila lelaki kurang bertanggungjawab.
“Yang penting ialah kalau orang yang belum kahwin dia berhak memilih tapi kalau orang yang sudah kahwin dia sudah tak ada hak untuk memilih lagi kecualilah orang Islam yang dibolehkan kahwin empat... tapi kahwin empat itu dia akan menyakiti hati orang lain, jadi adalah lebih baik kalau jangan kahwin dua.
“Semua orang mesti jaga diri sendiri, kalau dah kahwin mesti jaga diri sendirilah (supaya) jangan digoda,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika mengulas isu tersebut berkata, bilangan wanita muda berkahwin lelaki dewasa adalah sedikit.
Katanya, berdasarkan kajian Lembaga Pembangunan Penduduk Malaysia (LPPKN) 2004, aliran perkahwinan di kalangan rakyat tempatan adalah antara 27.4 tahun sehingga 28.9 tahun bagi lelaki, manakala pasangannya berusia antara 23.8 tahun hingga 25.3 tahun.
FCUBOOK
0 Response to "KAJIAN GADIS MUDA MINAT LELAKI BERUSIA"